SIBU: Ketua Ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nangka, Abdul Rafidin Majidi tetap berdiam diri mengenai laporan berita bahawa dia antara tiga calon yang disebut-sebut parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini.
Rafidin, 31, menganggap namanya yang disebut itu hanyalah khabar angin dan kebenarannya masih belum dapat dipastikan.
“Setakat ini, biarlah saya berdiam diri dahulu. Saya enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin itu,” katanya di sini semalam.
Beliau merupakan seorang peguam berasal dari Sibu masih terkejut dengan khabar angin itu namun sudah dimaklumkan mengenai spekulasi yang menyebut namanya menjadi calon PKR pada PRK DUN Balingian.
“Memang saya dari PKR dan saya adalah orang Sibu. PRK adalah di Balingian dan saya bukannya orang Balingian. Saya rasa anda faham maksud saya ini,” jelasnya.
Ditanya adakah Pengerusi PKR negeri Baru Bian menemui beliau sebelum ini, Rafidin menjelaskan, dia langsung tidak menemui Baru.
“Biarlah Baru membuat pengumumannya nanti. Saya tidak akan memberi komen lanjut mengenai perkara itu sehingga pengerusi kita mengumumkan siapa calonnya. Terserah kepada pengerusi untuk memilih calon yang sesuai,” tambah beliau.
Baru dalam petikan laporannya semalam memberitahu bahawa PKR mengumumkan calon parti itu pada PRK DUN Balingian hari ini (Sabtu) selepas mengadakan mesyuarat di Sibu.
Jelasnya, PKR sudah mengenal pasti tiga calon berpotensi dua daripadanya merupakan anak jati Melanau manakala seorang lagi merupakan individu luar.
Bagaimanapun, Baru enggan mendedahkan identiti ataupun petunjuk calon mereka yang akan bertanding pada PRK DUN Balingian sehingga tiba masanya.
Read more: http://www.theborneopost.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan